Debaran Dalam Dugaan
Memerhati kau yang kejur di perbaringan
berembas dengan mesin hitungan.
bertakung air mata kami,
dengan keluh dan rintih tak henti,
kenapa jadi begini?
Dalam sulaman hidup yang kau rentasi,
dalam usia muda yang belum menjamah tua
yang selayaknya kau masih kencang bernafas,
yang sepatutnya masih pula bergerak bebas.
Berbelas hari,
Rakan dan temanmu sepi,
Tiada lagi lantunan celotehmu ,
Tiada lagi derai tawamu didengari.
Setiap detik setiap kali,
doa kami iringi,
‘Sihatkanlah dia Ya Rabbi,
dia diperlukan anak dan isteri”
Kini,
Betapa kini kami bersyukur,
Kau sudah bangun dari tidur,
Sudah boleh bertutur,
Sambil mengukir senyum.
Walau nadamu perlahan sekali.
menceritakan sudah menikmati bubur nasi,
Yang bertahun-tahun kau hindari.
Dengarlah bisikan hati kami,
hargailah kasih sayang terhadapmu
Dan sisipkanlah janji
Jangan kau titiskan air mata kami lagi
Jangan dibiar kami sedih menghadapi
peristiwa begini..,
Anggaplah pesanan indah ini,
dari yang disayangi ,
Dan dari Ilahi,
Yang mahu umatnya ,
Tidak terpesong sipi,
Atau mengkhianati janji.
Mama…17/1 /12